Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menafikan dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) bersikap sombong dalam isu pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut beliau, jika benar BN sombong, gabungan itu tidak akan memberi ruang langsung kepada Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding.

Namun katanya, cadangan PH untuk membahagikan kerusi secara sama rata iaitu 14-14 dianggap tidak realistik memandangkan BN mendominasi majoriti kerusi pada PRN yang lalu.

“Mana ada kami sombong. Kalau sombong, tak mahu bagi PH bertanding pun. Tapi bila kamu minta 14, kami pun cadang kamu tanding sajalah semua 28 kerusi. Kita lawan di semua kerusi tu, apa yang nak pening sangat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa BN tidak akan melepaskan kerusi yang telah dimenangi kerana ia adalah hasil sokongan rakyat dan perlu dihormati.

Justeru, sebarang rundingan perlu mengambil kira realiti politik semasa dan pencapaian terdahulu.

Akmal mengulas kenyataan Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka, Ashraf Mukhlis Minghat yang menyokong cadangan DAP supaya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bertanding masing-masing 14 kerusi pada PRN akan datang bagi memastikan keadilan semua pihak terjamin.

Ashraf berkata segala cadangan berhubung agihan kerusi sepatutnya diterima dengan minda terbuka dan dibincangkan dengan cermat, bukan terus menolak.

Awal hari ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyaraf Wajdi Dusuki berkata keputusan muktamad berhubung agihan kerusi bagi PRN Melaka antara BN dan PH akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas beliau, secara prinsipnya, gabungan dalam Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk mengekalkan kerusi yang telah dimenangi dalam PRN yang lalu.

Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dengan BN memenangi 21 kerusi pada PRN lalu, PH lima dan dua lagi dimenangi Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here