KUALA LUMPUR – Pasaran niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) mungkin kekal di bawah tekanan minggu depan berikutan jangkaan peningkatan dalam pengeluaran dan inventori.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata, pasaran mungkin didagangkan dengan kecenderungan penurunan, dengan harga dijangka berlegar antara RM3,650 satu tan dan RM3,900 satu tan.
“Selain itu, sentimen juga dilihat agak berhati-hati menjelang pengeluaran laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang berpotensi menurun, yang dapat memperkuatkan jangkaan harga yang lebih lemah,” katanya kepada Bernama.
MPOB akan melepaskan data pengeluaran dan eksport bulanannya pada 13 Mei depan.
Dari Jumaat ke Jumaat, Mei 2025 merosot sebanyak RM130 kepada RM3,790 satu tan, Jun 2025 jatuh RM94 kepada RM3,813 satu tan serta Julai 2025 susut RM67 kepada RM3,814 satu tan.
Ogos 2025 menurun sebanyak RM56 kepada RM3,827 satu tan, September 2025 menguncup RM51 kepada RM3,837 satu tan dan Oktober 2025 adalah RM38 lebih rendah pada RM3,853 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 347,140 lot berbanding 240,534 yang dicatatkan dalam minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka melebar kepada 240,098 kontrak daripada 232,901.
Harga MSM fizikal untuk Mei Selatan adalah lebih rendah sebanyak RM170 kepada RM3,850 satu tan.
Bursa Malaysia Bhd serta anak-anak syarikatnya akan ditutup pada 12 Mei (Isnin) bersempena dengan cuti Hari Wesak dan akan dibuka kembali pada 13 Mei (Selasa). – BERNAMA