Nurul Izzah Anwar.

KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar tidak bersetuju dengan pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk penggal ketiga.

Calon Timbalan Presiden PKR itu turut menyifatkan pelantikan itu sebagai satu keputusan yang “tidak dialu-alukan”.

Menurut beliau, lanjutan kontrak seperti ini hanya akan menyukarkan usaha membawa perubahan struktur dan budaya yang mendalam dalam institusi penting negara.

“Pemanjangan kontrak sebegini menyukarkan perubahan mendasar berlaku,” katanya dalam satu hantaran di platform media sosial X.

Nurul Izzah turut menekankan keberanian diperlukan daripada penjawat awam, pemimpin politik, dan anggota parti untuk membuat pilihan yang lebih berani dan progresif demi masa depan pentadbiran negara.

“Kita memerlukan keberanian penjawat awam, pimpinan serta anggota parti dan lainnya untuk memastikan kita punyai kekuatan iltizam untuk membuat pilihan baru,” tambahnya.

Anak sulung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mengulas mengenai pelanjutan kontrak Azam bagi tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.

Pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi satu kenyataan ringkas.

Azam, 62, sudah dua kali dilantik semula bagi memegang jawatan itu, masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan sejak 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here