SERDANG – Nurul Izzah Anwar yang mengesahkan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh lari daripada isu nepotisme.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli percaya Nurul Izzah mempunyai hujah sendiri mengapa beliau bertanding untuk jawatan kedua tertinggi parti itu.
Cuma, Rafizi melahirkan kebimbangan ada pihak yang cuba menimbulkan polemik.
“Bila (Nurul) Izzah tanding (kerusi Timbalan Presiden) memang kita (parti) tidak boleh lari isu nepotisme, masing-masing akan ada hujah sendiri, kita hormati itu.
“Terpulang untuk Nurul Izzah untuk berhujah, saya tidak ada niat panjangkan isu ini tapi saya bimbang persepasi rakyat di luar,” katanya dalam podcast langsung Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri di Dewan Serbaguna MBSJ, malam tadi.
Sebagai parti dalam kerajaan, Rafizi berkata, pemimpin PRK boleh lari daripada tanggapan tersebut yang dicerminkan oleh akar umbi.
Justeru itu, isu berkenaan akan terus bermain di bibir rakyat mahupun ahli parti walaupun Nurul Izzah memenangi kerusi timbalan presiden kelak.
“Saya hanya bimbang pesepsi rakyat di luar sebab kita boleh bagi apa sahaja hujah, yang menjadi hakim bukan sahaja perwakilan di dalam pemilihan parti.
“Hakim kita ada dua sahaja, satu pengundi kita nak masuk PRU nanti, kedua adalah Allah.
“Isu nepotisme ini akan terus berlegar, kita bagi apapun jawapan tapi kena berhati-hati.
Kalau jawapan itu dilihat terlebih sudu dari kuah, kalau jawapan itu bukan nepostisme selagi ada pilihan raya, jangan buat sebegitu sebab Azabaijan yang mana Presiden dan Perdana Menteri adalah suami isteri yang dipilih dalam pilihan raya. Itu tidak menghentikan seluruh dunia,” katanya lagi.
Pada 2017, Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev telah melantik isterinya sendiri, Mehriban Aliyeva sebagai timbalan presiden negara yang kaya dengan sumber minyak.
Dalam pada itu, Rafizi turut mendakwa, ahli-ahli PKR kini mengeluh kerana pemilihan parti tersebut dilihat sebagai cubaan parti dalam merancang agenda tertentu.
“Orang bising di media sosial bukannya soal Nurul Izzah atau saya yang bertanding, mereka bising, mual melihat pemilihan kali ini sebagai dirancang untuk memangsakan seseorang, itu yang ahli marah.
“Ini masalah bila tukang cucuk dan tukang tunggang ini terlebih sudu dari kuah, berebut nak tunjuk kesetiaan mereka sedangkan di luar rakyat kata apa sudah jadi dengan parti. Bila suidah ada kuasa, berlumba-luma untuk tunggang kuasa,” jelas Rafizi lagi.
Mengulas lanjut, Rafizi turut memberi peringatan kepada Nurul Izzah untuk bersedia menjadi ‘panglima perang’ sekiranya dipilih menjadi Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu bulan ini.
Beliau berkata, tanggungjawab itu perlu dipikul dengan baik dan untuk mendapatkan sokongan berterusan daripada akar umbi.
Selain itu, Nurul Izzah juga perlu bersedia untuk melawan lawannya.
“Kalau Nurul Izzah menjadi timbalan presiden, beliau kena ambil tanggungjawab dari saya sebagai ‘kaki pukul’ nombor satu, mereka yang menyokong secara melulu, membongkarkan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS), menjadi perunding parti, berunding dengan BN dan PN.
“Walau apa pun, tidak kira siapa yang dipilih untuk menjawat jawatan itu, ia bukan semata-mata tawaran yang diberikan, sebaliknya bagaimana ia perlu dilakukan dan digerakkan.
“Walau apa juga tawaran yang diberikan, jika tiada taktik yang boleh menghidupkan semangat dan ‘tenaga’ di kawasan itu, jadi perkara itu tidak dapat dilaksanakan,” katanya.
Jelas Rafizi, sebagai timbalan presiden gerak kerja berkenaan adalah salah satu dalam senarai tugas yang dipikul oleh pemimpin nombor dua parti itu.
Nurul Izzah sebelum ini berkata, beliau akan menumpukan usaha dan bekerja bersama anggota, pendukung serta sukarelawan parti khususnya membabitkan 50 kerusi marginal dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16). – MalaysiaGazette