Petugas farmasi mengambul ubat untuk pesakit Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 06 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025 merupakan langkah yang tepat kerana memberi akses kepada pengguna mengetahui kos perubatan.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Prof Amrahi Buang berkata, pengguna termasuk pesakit mempunyai hak untuk mengetahui harga ubatan yang dibeli.

Dalam masa yang sama, katanya, ketetapan itu mengelakkan berlakunya peningkatan kos perubatan yang membebankan.

“Perintah ini memberikan hak kepada pesakit atau pengguna untuk membuat pilihan untuk membayar di mana fasiliti kesihatan yang terbabit seperti hospital swasta, klinik swasta dan farmasi komuniti.

“Ini adalah penting kepada para pesakit atau pengguna yang membayar dengan wang sendiri. Sekiranya pengguna atau pesakit menggunakan isnurans atau panel, mereka tidak tahu berapa banyak tuntutan klinik kepada pihak insurans atau pengendali pihak ketiga (TPA).

“Akibatnya jika kos meningkat, syarikat-syarikat ini akan menaikkan premium atau caj. Ini juga akan membebankan pengguna atau pesakit serta majikan-majikan mereka jika berkaitan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Selain itu, Amrahi berpendirian aspek pencatutan dalam anti pencatutan juga langkah yang munasabah oleh Kementerian Kesihatan  (KKM) demi memastikan industri perubatan swasta tidak sewenangnya mengaut keuntungan.

Jelas beliau, ia dilihat selari dengan Dasar Ubat Nasional (DUNas) untuk memastikan ubat-ubatan bersifat mampu milik.

“Begitu juga dengan aspek pencatutan harga. Ini tidak dibenarkan dalam akta tersebut. Membuat keuntungan tidaklah salah tetapi mencatut harga adalah satu perbuatan yang tidak beretika dan yang tidak wajar dilakukan,” tambahnya.

Mengulas lanjut, tambah beliau, bantahan yang dilakukan baru-baru ini boleh dijawab menerusi soalan lazim (FAQ) yang disediakan oleh kerajaan.

Selain itu, katanya, fasa pembelajaran tiga bulan juga langkah yang baik untuk semua pihak.

“Waktu tiga bulan sebagai fasa pembelajaran juga adalah wajar. Jika perlu tambah. saya yakin kerajaan akan pertimbangkan. Saya juga melihat bahawa bantahan-bantahan yang dilakukan oleh pihak terbabit telah pun sampai ke tangan kerajaan untuk penelitian dan perlaksanaan,” ujarnya.

Sementara itu, Amrahi menyuarakan isu fi doktor swasta yang pernah dipersetujui oleh Kabinet pada 2019 namun tidak dilaksanakan sehingga kini.

Menurut beliau, isu berkenaan wajar dipertimbangkan dan diutamakan pada Waktu ini, bukan hanya paparan dan harga ubat semata-mata.

“Mengapa ia tidak dilakukan hingga sekarang menjadi satu tandatanya yang besar. Kerajaan perlu menjelaskan perkara ini kepada umum.

“Berkaitan isu kawalan harga, ia pasti akan dipertimbangkan kerajaan kerana inflasi ubat-ubatan dan perubatan semakin mencengkam. Kerajaan perlu mengambil tindakan-tindakan tidak popular untuk mengawal nya demi kebaikan rakyat dan negara,” Amrahi berkata.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here