Keadaan kereta jenis Maserati selepas terlibat kemalangan di KM 0.6 Lebuhraya Link Kedua arah menuju ke Singapura, petang semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM 0.6 Lebuhraya Link Kedua, Iskandar Puteri dalam arah menuju ke Singapura, kira-kira jam 7.00 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Kumarasan Muniandy berkata, kemalangan itu membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta jenis Maserati berwarna merah.

“Siasatan awal mendapati pemandu Maserati terbabit telah membuat pusingan U secara melulu hingga melanggar pembahagi jalan tengah sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah motosikal jenis Honda RS berwarna kuning.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang juga merupakan seorang lelaki tempatan, telah terjatuh ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kaki kiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kotak simpanan (box) motosikal mangsa turut tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar dua lagi motosikal jenis Yamaha MT-09 berwarna ungu dan Yamaha XMAX 250 berwarna kelabu.

Bagaimanapun, kedua-dua penunggang motosikal itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kumarasan menjelaskan bahawa insiden berkenaan telah mencetuskan kekecohan apabila pemandu Maserati turut diserang oleh pengguna jalan raya lain menggunakan topi keledar.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu, serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan dengan menggunakan senjata.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan diminta menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5101322. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here