SHAH ALAM – Seorang lelaki maut apabila pacuan empat roda dipandunya terbakar selepas terbabit dalam satu kemalangan di Persiaran Kuala Langat menghala Persiaran Hulu Langat di sini, 4.45 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP MOhd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati pacuan empat roda dipandu mangsa berusia 49 tahun itu hilang kawalan sebelum melanggar pokok di bahu kiri jalan yang mengakibatkan kenderaan terbakar.
“Mangsa dipercayai terperangkap di dalam kenderaan dan tidak berjaya keluar sebelum api marak membakar seluruh kenderaan berkenaan.
“Kebakaran tersebut kemudiannya berjaya dipadamkan oleh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal berkata mayat lelaki warga tempatan itu dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar dalam kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut sekitar waktu sama sebelum menggerakkan enam pegawai dan anggota dari BBP Shah Alam ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan bahawa kebakaran melibatkan sebuah pacuan empat roda terbakar 100 peratus itu dipercayai berpunca daripada kemalangan.
“Satu mangsa didapati telah tersepit dan rentung di dalam kenderaan selepas api berjaya dipadamkan,” katanya. – BERNAMA