Dr Zaliha Mustafa.

KUALA LUMPUR – Tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR pada pemilihan kali ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Katanya, sehingga ini, seramai 104 pencalonan telah diterima bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), 85 bagi Majlis Pimpinan AMK manakala 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.

Jelasnya, secara keseluruhan, seramai 251 calon telah menawarkan diri untuk bersama-sama memperkukuh saf kepimpinan parti peringkat pusat.

“Penyertaan yang memberangsangkan ini membuktikan PKR tidak ketandusan bakat pelapis malah ia mengukuhkan lagi posisi parti sebagai wadah perjuangan yang sentiasa memberi ruang kepada tokoh-tokoh baharu dalam memperkasakan demokrasi dalaman parti,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Dr Zaliha, proses seterusnya akan melibatkan tempoh bantahan pada 11 dan 12 Mei diikuti dengan rayuan terhadap sebarang bantahan pada 13 dan 14 Mei 2025.

Katanya, senarai akhir calon-calon peringkat pusat akan dimuktamadkan pada 15 Mei 2025.

Dr Zaliha berkata, tempoh rasmi berkempen akan bermula sejurus selepas pemuktamadan dan akan berakhir pada 22 Mei 2025 pukul 11.59 malam.

Justeru, beliau mengingatkan semua calon supaya mematuhi segala peraturan dan tata etika pemilihan yang telah ditetapkan.

“Amalkan kempen yang berhemah, matang dan saling menghormati antara satu sama lain. Pemilihan ini perlu menjadi ruang memperkukuh saf perjuangan dalam semangat kekeluargaan yang telah menjadi asas PKR sejak sekian lama,” tambahnya.

Beliau mewakili JPP turut merakamkan penghargaan kepada semua calon dan anggota parti yang terus komited menjayakan proses pemilihan kali ini secara tertib, telus dan penuh integriti.

“Komitmen ini adalah cerminan kekuatan sebenar PKR sebagai parti yang terus mara ke hadapan bersama rakyat,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here