Ketua Puteri Umno, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi bercakap pada sidang media selepas program Santai Anak Muda: Vintage Vroom Vroom Vroom anjuran kelab Project Next Gen Z di Pusat Perdagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) agar tidak melanggar garis sempadan dan tidak mendahului pucuk pimpinan dalam isu pengagihan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 di Melaka.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, sebagai parti komponen Kerajaan Perpaduan, tidak sewajarnya PH ‘memandai-mandai’ menentukan jumlah kerusi, apatah ‘memaksa’ UMNO menyerahkan kerusi yang dimenanginya sebelum ini.

“Saya ada membaca kenyataan yang dikeluarkan pemimpin-pemimpin PH dan Barisan Nasional (BN) mengenai kerusi (DUN) di Melaka yang akan dipertandingkan kononnya BN-14 kerusi dan PH-14 kerusi, sedangkan BN menang 21 kerusi.

“Perkara itu dibuat tanpa perbincangan macam itu sahaja, bagi saya jangan langgar garis sempadan, PH jangan langgar garis sempadan BN, sebab bila dicetuskan macam ini akan jadi provokasi,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Khamis lalu, media melaporkan pelbagai pihak dilaporkan menolak cadangan DAP menerusi laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang bertajuk ‘9 Cawangan DAP Melaka meluluskan resolusi strategi 14 BN + 14 PH pada PRN Melaka akan datang’.

Difahamkan, sembilan cawangan itu ialah Bukit Beruang, Ayer Keroh, Kampung Baru Ayer Keroh, Merdeka Jaya, Sunshine, Taman Muzaffar Shah, Bukit Beruang Indah, Kubu dan Taman Kerjasama yang kesemuanya dalam Parlimen Hang Tuah Jaya.

Dalam satu kenyataan bersama, semua cawangan itu menyokong supaya PH dan BN masing-masing bertanding 14 dari 28 kerusi DUN di Melaka, selari semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan.

Susulan itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, dilapor mengingatkan PH Melaka supaya tidak terlalu berharap untuk bertanding di kerusi DUN yang dimenangi BN pada PRN lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menegaskan, BN ketika ini mendominasi kerusi DUN di Melaka dan tidak akan melepaskan kerusi dimenangi blok itu pada PRN lalu.

Dalam pada itu, Nurul Amal juga mengingatkan PH agar perkara itu diputuskan melalui mesyuarat bersama pucuk pimpinan pusat BN-PH dan bukannya cadangan daripada kepimpinan negeri.

“Kalau nak berbincang, buat cara berbincang, kalau UMNO buat macam ini pun, PH akan marah, jadi PH jangan langgar garis sempadan,” katanya.

Katanya lagi, Pergerakan Puteri memahami kedudukan BN-PH kini berada dalam Kerajaan Perpaduan, namun rakan politik lain tidak boleh menafikan kemenangan BN dalam PRN15 di Melaka sebelum ini.

“Kita berada dalam Kerajaan Perpaduan atas dasar untuk politik negara, demi kestabilan politik negara.

“Kena faham faktor semualah, parti-parti politik kena faham yang faktor Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tempoh hari, tiada satu parti pun yang boleh tubuh kerajaan.

“Jadi kalau nak bercakap apa-apa, pemimpin PH tolong jangan langgar garis sempadan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here