SERDANG – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Raml berkata, beliau akan melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mempertahankan jawatan dalam parti itu.
Jelasnya, beliau akan kekal memegang jawatan ahli Parlimen kerana masih mahu memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Kalau saya kalah, saya akan letak jawatan sebagai menteri, saya akan kembali jadi ahli Parlimen biasa,” katanya dalam program Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri di Dewan Serbaguna MBSJ, malam tadi.
Rafizi kini bersaing dengan anak sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah yang telah mengemukakan pencalonan beliau, semalam.
Rafizi berkata, dia akan lega sekiranya gagal mempertahankan jawatan tersebut dan mempunyai lebih banyak masa dan bebas bersuara mengenai pelbagai isu.
“Teruk tau jadi menteri. Banyak tanggungjawab, tak terbuat. Yang kedua saya lagi gembira, mulut dan tangan saya tak terikat.
“Sebelum ini saya anggota pentadbiran. Kalau saya tak setuju pun, contohnya Tan Sri Azam Baki dilantik semula (sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM), saya tak boleh sebut secara terbuka sebab saya anggota pentadbiran.
“Ia akan langgar etika kerana keputusan dibuat oleh Perdana Menteri. Jadi saya terpaksa tutup mulut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette