MANJUNG – Seorang remaja perempuan yang hilang selepas terjatuh sungai di Kampung Benting Luas, Pantai Remis dekat sini semalam ditemui pagi ini.
Shirley Ngu Siok Yee, 15, ditemui terapung di tebing sungai pukul 7.50 pagi kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa terjatuh.
Difahamkan, remaja terbabit dipercayai turun bersiar-siar di sekitar jeti berhampiran sebelum terjatuh ke dalam sungai disyaki akibat lantai jeti yang reput.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat mangsa ditemui oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Changkat Keruing dan Pantai Remis yang melakukan pencarian bersama menyusuri sungai.
“Mangsa telah dibawa ke jeti berhampiran menggunakan bot PBS.
“Anggota kemudiannya membantu mengangkat mangsa menggunakan pengusung sebelum diserahkan pada pihak KKM (Kementerian Kesihatan) bagi tujuan pengesahan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi terkawal pada jam 8 pagi dan tamat sepenuhnya sekitar jam 9.45 pagi,” ujarnya.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis, KKM dan polis. – MalaysiaGazette