KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjelaskan tindakan yang dilaksanakan terhadap seorang individu berlandaskan peruntukan undang-undang yang termaktub di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk memberikan ruang kepada MCMC agar siasatan dapat dilengkapkan dengan telus dan menyeluruh.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC mengesahkan telah menjalankan pemeriksaan terhadap premis milik individu itu bagi mendapatkan keterangan lanjut berhubung siasatan yang sedang dijalankan ke atasnya.
Bagaimanapun dalam kenyataannya, MCMC tidak mendedahkan identiti individu berkenaan.
Namun, tular di media sosial individu berkenaan adalah pempengaruh Aliff Ahmad.
Aliff yang juga pengasas bersama Scrut mengesahkan perkara itu melalui Facebook keduanya.
MCMC berkata, siasatan ini melibatkan kandungan yang dimuat naik melalui akaun Facebook individu tersebut, yang dipercayai mengandungi elemen jelik melampau berunsur 3R (agama, kaum dan Institusi Diraja).
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 AKM 1998, yang memperuntukkan kesalahan berkaitan penyebaran kandungan lucah, sumbang, palsu, jelik melampau atau mengancam, dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.
Pemeriksaan tersebut dilaksanakan selepas MCMC memperoleh waran geledah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengikut peruntukan Seksyen 247 AKM 1998.
Hasil daripada pemeriksaan itu, sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM telah disita untuk tujuan siasatan lanjut.
Selain itu, sesi pemeliharaan data dan rakaman percakapan telah diadakan di Balai Polis Pudu pada 9 Mei 2025.
Terdahulu, katanya, individu terbabit telah hadir ke Ibu Pejabat MCMC bagi memberikan keterangan berkaitan siasatan yang sedang dijalankan. – MalaysiaGazette