Rektor UIAM(Tengah) menerima Anugerah Emas MiSHA 2024 daripada Presiden MiSHA pada satu majlis khas di UIAM Gombak.

KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menerima Anugerah Emas bagi kategori Anugerah Kecemerlangan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan sempena MiSHA 2024 di UIAM Kampus Gombak.

Dengan penganugerahan itu, UIAM menjadi satu-satunya universiti awam yang diiktiraf oleh MiSHA atas komitmen tinggi dalam memastikan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) yang cemerlang di kampus.

Anugerah tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan diterima sendiri oleh Rektor UIAM, Datuk Dr. Osman Bakar pada Januari lalu.

Timbalan Rektor (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan) UIAM, Dr. Mohamed Aslam Mohamed Haneef berkata, kejayaan itu merupakan hasil usaha bersepadu pelbagai pihak dalam menjadikan keselamatan kampus sebagai keutamaan.

“Tahniah kepada Pejabat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHBE) UIAM dan semua yang terlibat dalam usaha menjadikan kampus UIAM satu tempat kerja yang selamat dan sihat.

“Kami berharap usaha ini terus dipertingkatkan demi kesejahteraan semua warga kampus,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Perindustrian Malaysia (MiSHA), Aziz Basiran turut memuji komitmen yang ditunjukkan oleh UIAM sehingga berjaya meraih pengiktirafan tersebut.

“Kejayaan ini membuktikan UIAM sangat mengambil berat perihal keselamatan dan kesihatan warganya. Usaha dan inisiatif yang dijalankan wajar dipuji sehingga layak menerima Anugerah Emas MiSHA 2024,” ujarnya.

Anugerah MiSHA merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada organisasi yang berjaya melaksanakan strategi dan amalan pengurusan risiko berdasarkan Prinsip Pencegahan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHPoP) 2024.

Inisiatif ini turut menyokong aspirasi kerajaan menerusi Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021–2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here