KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menamatkan dominasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam saingan Liga Bola Sepak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) apabila muncul juara Piala Sumbangsih 2025 selepas mencatat kemenangan 4-2 menerusi penentuan penalti di sini, malam ini.

Perlawanan yang berlangsung di Arena Universiti Malaya (UM) itu terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 90 minit masa permainan sebenar.

Penjaga gol UKM Muhammad Adam Harris Herman muncul sebagai wira pasukan apabila cemerlang menyelamatkan dua sepakan penalti UiTM, masing-masing diambil oleh Mohammad Arif Imran Abdul Rahman dan Muhammad Hariz Husaini Mohd Harimanto.

Sementara itu, empat sepakan penalti UKM disempurnakan dengan tenang oleh Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan, Haris Zafri Hashim, Vikie Owen Marinus dan Muhammad Akif Ahmad Ariffin untuk memastikan piala sulung musim ini menjadi milik mereka.

Untuk rekod, UiTM sebelum ini mendominasi Piala Sumbangsih dengan menjuarai kejohanan itu setiap musim sejak 2018, kecuali ketika saingan liga tergendala selama hampir dua tahun susulan pandemik COVID-19, sebelum kembali bersambung pada musim 2022/2023.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, jurulatih UKM Mohd Rafiq Roslan menyifatkan kejayaan itu sebagai permulaan terbaik buat pasukannya musim ini.

“Kami tahu UiTM bukan calang-calang pasukan, malah pernah menjuarai piala ini beberapa kali. Tetapi pemain kami menunjukkan karakter yang hebat, bijak mengawal tekanan dan akhirnya berjaya membawa pulang trofi yang amat berharga.

“Ini kemenangan penting yang akan menjadi pembakar semangat untuk mengharungi musim panjang liga nanti,” katanya.

Sementara itu, kapten UKM Muhammad Iman Hakimi Aznan menyifatkan kejayaan itu sebagai satu permulaan yang cukup manis dalam tahun pertamanya bersama skuad universiti berkenaan.

“UKM dah lama tak menang piala. Saya pun baru tahun satu, tapi Alhamdulillah diberi kekuatan dan kepercayaan untuk bawa pasukan raih kemenangan. Terima kasih kepada rakan sepasukan atas komitmen terbaik,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

Meskipun tewas menerusi penentuan penalti, keputusan seri tanpa jaringan membolehkan UiTM dan UKM masing-masing berkongsi satu mata dalam aksi pembukaan Divisyen 1 Liga IPT musim ini. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here