KUALA LUMPUR – Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR Malaysia) mendesak Kementerian Pengangkutan dan agensi penguat kuasa berkaitan mengambil tindakan segera terhadap penyalahgunaan lesen PSV oleh pemandu e-hailing tempatan yang menyerahkan akaunnya kepada warga asing.
Mereka dalam satu kenyataan hari ini berkata, kegiatan itu dilaporkan berlaku secara berleluasa khususnya di Sabah dan berpotensi besar mengancam keselamatan penumpang.
“Amalan ‘Ali Baba’ ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan pemandu tempatan yang mematuhi undang-undang tetapi turut membuka ruang kepada risiko keselamatan apabila kenderaan e-hailing dipandu oleh individu tanpa latar belakang yang disaring atau lesen sah,” katanya.
Menurutnya, kebimbangan itu berasas apabila Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan dua syarikat e-hailing iaitu InDrive dan Maxim telah melanggar syarat-syarat beroperasi termasuk gagal memastikan semua pemandu memiliki Lesen Vokasional (PSV).
PENGHANTAR turut merakamkan penghargaan terhadap ketegasan kementerian dalam memberikan kejelasan berhubung status kedua-dua syarikat terbabit.
“Oleh itu, kami menyambut baik kenyataan YB Menteri yang mengesahkan ketidakpatuhan dua syarikat itu terhadap peraturan sedia ada.
“Namun kami menggesa agar pemantauan diperluaskan kepada semua syarikat e-hailing (EHO) dan p-hailing (PHO) yang sedang beroperasi di negara ini,” tambahnya.
Tindakan sesetengah syarikat yang terus beroperasi walaupun dikenakan penggantungan sebelum ini menunjukkan kelemahan penguatkuasaan serta sikap tidak menghormati undang-undang negara.
Situasi itu akan turut memberikan tekanan kepada pemandu yang mematuhi peraturan, selain mewujudkan ketidakseimbangan dalam industri.
Sehubungan itu, PENGHANTAR Malaysia menggesa agar kerajaan mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi GiG Malaysia (SEGIM) seperti yang dicadangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Kami mahu undang-undang yang dibentuk benar-benar menyelesaikan isu dalam industri gig dan bukannya membebankan pemandu yang sudah pun mematuhi peraturan sedia ada.
“Penguatkuasaan undang-undang mesti melibatkan pemantauan secara menyeluruh ke atas keseluruhan ekosistem, bukan sekadar kepada pemandu sahaja, tetapi juga kepada operator platform yang mengabaikan pematuhan,” tambahnya. – MalaysiaGazette