KUALA LUMPUR –Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak berniat bertanding secara solo apabila memutuskan untuk membentuk blok dan bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya BN-PH sedia bekerjasama dengan parti-parti tempatan di Sabah untuk berdepan dengan PRN17, suku ketiga tahun ini.
“Keputusan untuk BN-PH sebagai satu parti yang akan bergabung, bergerak ke Sabah bukan kita berniat bergerak secara solo, tetapi keputusan kita ialah BN bukan satu Plus, tapi Plus…Plus…Plus.
“Ini memperlihatkan keterbukaan kita dan pastinya tiada parti politik Semenanjung dan tiada parti politik Sabah.
“Kita harus bergabung antara parti pusat dan parti negeri,” katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Ulang Tahun ke-79 UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor memutuskan untuk bergerak solo dalam PRN17 di Sabah susulan keputusan BN-PH untuk bekerjasama membentuk blok politik.
Ahmad Zahid turut berkata, keterbukaan BN-PH untuk memastikan kerajaan negeri yang dibentuk kelak berupaya memberi sumbangan kepada pembangunan seperti mana dirancang sebelum ini.
“Sebab, yang penting kerajaan akan terbentuk dalam PRN17 adalah kerajaan bersama-sama untuk menentukan bahawa pembangunan di Sabah yang dirancangkan itu dapat dilakukan seterusnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette