KUALA LUMPUR – Sayap parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak membelakangkan pucuk pimpinan dalam isu pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor akan datang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang perbincangan mengenai perkara itu hanya ditentukan pucuk pimpinan masing-masing dan semua pihak tidak perlu melayani emosi.
“Saya nasihatkanlah agar sayap mana-mana parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan, soal yang mereka bangkitkan itu biar ditentukan oleh pucuk pimpinan parti masing-masing.
“Jangan layani emosi dan juga analisis mengikut perspektif masing-masing. Soal pembahagian kerusi dan sebagainya kita serahkan kepada pucuk pimpinan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-79 UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Khamis lalu, media melaporkan pelbagai pihak dilaporkan menolak cadangan DAP menerusi laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang bertajuk ‘9 Cawangan DAP Melaka meluluskan resolusi strategi 14 BN + 14 PH pada PRN Melaka akan datang’.
Difahamkan, sembilan cawangan itu ialah Bukit Beruang, Ayer Keroh, Kampung Baru Ayer Keroh, Merdeka Jaya, Sunshine, Taman Muzaffar Shah, Bukit Beruang Indah, Kubu dan Taman Kerjasama yang kesemuanya dalam Parlimen Hang Tuah Jaya.
Dalam satu kenyataan bersama, semua cawangan itu menyokong supaya PH dan BN masing-masing bertanding 14 dari 28 kerusi DUN di Melaka, selari semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan.
Dalam pada itu, beliau berkata lagi, isu yang dibangkitkan DAP Melaka tidak pernah dibincangkan dengan pimpinan PH sebelum ini.
“Kami di peringkat atasan sering bertemu dan mengadakan rundingan, perkara ini kita tidak perbincangkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan cadangan itu sebagai pra-matang dan tidak wajar dipolemikkan.
“Jadi tidak perlu perkara ini dibangkitkan sama ada oleh UMNO sendiri khususnya Pemuda atau Amanah oleh pemudanya sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette