Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyuarakan kebimbangan terhadap pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang disifatkan sebagai langkah bercanggah dengan janji reformasi institusi oleh Kerajaan Perpaduan.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) itu berkata, penolakan oleh dua calon timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap pelantikan Azam itu mencerminkan kekecewaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa gagal menunaikan komitmen terhadap reformasi institusi.

“Pelantikan semula Azam Baki menimbulkan persoalan sama ada beliau diberikan ‘tugas khas’ oleh Perdana Menteri yang perlu diselesaikan dalam tempoh lanjutan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata Dominic, kerajaan tidak sepatutnya hanya berbicara mengenai reformasi tanpa sebarang tindakan konkrit yang menjurus kepada perubahan sebenar dalam sistem pentadbiran.

Beliau turut memahami dilema yang dihadapi Rafizi Ramli dalam isu berkenaan, namun menegaskan Menteri Ekonomi itu perlu berani menyatakan pendiriannya secara terbuka dalam mesyuarat Kabinet.

“Jika ada pandangan, tetapi tidak berani menyatakannya, bagaimana kita boleh berbicara tentang reformasi?” soalnya.

Dominic berkata, pendiriannya sejajar dengan Rafizi dan Nurul Izzah Anwar dalam menolak pelantikan semula Azam, sambil mengingatkan bahawa Pakatan Harapan (PH) pernah berjanji bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM akan bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan ia satu janji yang sehingga kini belum ditunaikan.

Berikutan itu, beliau menggesa Perdana Menteri menjelaskan, sama ada cadangan oleh Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) sudah diterima atau tidak, kerana langkah tersebut penting untuk menjamin kebebasan dan kredibiliti SPRM.

“Sistem pentadbiran negara memerlukan kepimpinan yang jelas dan mekanisme akauntabiliti yang kukuh,” ujarnya.

Sementara itu, Dominic membangkitkan skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2023 dan 2024 yang kekal pada 50 daripada 100 serta kedudukan ke-57 daripada 180 negara.

“Jika kerajaan perpaduan begitu menekankan prestasi, adakah pencapaian ini memadai?” katanya.

Dominic turut mempersoalkan perubahan pendirian Anwar yang sebelum ini begitu lantang menentang pelantikan Azam, namun sejak menjadi Perdana Menteri, beliau telah tiga kali mencadangkan pelantikan semula tokoh itu.

“Anwar perlu menjelaskan mengapa pendiriannya berubah secara drastik selepas memegang jawatan Perdana Menteri, kerana ini hanya akan menyukarkan pelaksanaan reformasi yang sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here