Tuan Ibrahim Tuan Man.

PUTRAJAYA – PAS menyahut hasrat kerajaan bagi menjayakan kempen ‘Malaysia Sifar AIDS’ pada 2030 melalui Pelan Tindakan Komprehensif Get to Zero 2030 (GTZ 2030) yang akan dilaksanakan melalui Lajnah Kesihatan PAS Pusat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) PAS seluruh negara.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia merupakan sebuah insiatif bersepadu daripada parti itu untuk menangani HIV/ AIDS di negara ini secara sistematik dan menyeluruh.

“Pelan tindakan ini dibangunkan bagi menyokong agenda nasional Ending AIDS (Akhiri AIDS) 2030 yang menetapkan sasaran 95-95-95 iaitu 95 peratus individu berisiko menjalani saringan HIV, 95 peratus daripada mereka mengetahui status mereka dan 95 peratus daripada pesakit HIV berjaya mencapai kawalan viral load yang rendah,” katanya dalam sidang media Pelancaran Pelan Tindakan Komprehensif Get To Zero 2023 (GTZ 2030) di sini hari ini.

Tambah beliau, pelan tindakan itu turut menggariskan pendekatan multi-dimensi merangkumi pencegahan awal dalam kalangan generasi muda dan komuniti berisiko melibakatkan golongan LGBTQ, pekerja seks dan penagih dadah.

“Selain itu, melaksanakan program pemulihan spritual dan psikososial menerusi Modul Hijrah dan City GTZ ke arah abstinen, perkhidmatan rawatan bersepadu 3C (Comprehensive, compassionate, care) di klinik HIV/PREP.

“Kempen advokasi media termasuk usaha membanteras kandungan dan aplikasi siber berunsur seksual berisiko dan kajian impak serta penilaian kualiti program pencegahan dan perawatan ke arah abstinen,” jelasnya.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, pelan tindakan itu juga didasari oleh prinsip Amar Makruf Nahi Mungkar, mendorong pendekatan pencegahan berteraskan nilai Islam dan bukti saintifik.

Jelas beliau, usaha pihaknya itu juga dilaksanakan bagi membantu kerajaan menjayakan kempen Sifar AIDS di negara ini dengan lebih cepat.

“Kerajaan meletakkan sasaran pada 2030 tapi saya jangka kalau kerajaan saja yang bergerak, NGO dan agensi lain membantu ia akan turut mempercepatkan kempen.

“Usaha kita sebenarnya melangkaui, tidak kira kerajaan mahupun pembangkang. Dalam isu kesihatan ini, PAS ada kepakaran serta tenaga yang kita boleh bantu dan sebar luaskan kumpulan ini di peringkat pusat dan keseluruhan negeri.

“Insya-Allah,kita libatkan kerjasama masyarakat termasuk masjid, khutbah dan pimpinan masyarakat perlu prihatin isu ini sebab kita dan macam menormalisasikan benda mungkar, jadi ini benda yang tak sepatutnya berlaku. Jadi, itu hasrat kita,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here