Seramai 206 orang pelatih lelaki PLKN telah ditempatkan di Kem Rejimen 505 (AW) Kem Force 136, Pekan, Pahang

PEKAN – ”Dekat luar belum tentu dapat latihan ketenteraan pegang senapang, atau buat aktiviti lasak,” kata pasangan kembar untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), hari ini.

Bagi Ieuseuf Hafiz Mohd Suki, dan Ieahiea Hasif Mohd Suki yang memohon secara sukarela menzahirkan keterujaan kerana untuk menimba pengalaman baharu setelah mendaftar di PLKN 3.0 di Rejimen 505 Kem Force, Sungai Miang, di sini, hari ini.

Ieuseuf Hafiz Mohd Suki, dan Ieahiea Hasif Mohd Suki

“Saya tidak sabar untuk mengikuti latihan lasak seperti masuk hutan dan abseiling. Paling ditunggu latihan menembak di lapang sasar yang akan menguji kebolehan serta kemahiran.

“Sebelum ini saya aktif dengan aktiviti lasak, kemudahan lama berehat dan kali ini saya berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti yang menguji kekuatan mental dan fizikal,” katanya.

Kedua-dua pelatih PLKN yang berasal dari Selangor itu mendapat sokongan dan restu ibu mereka yang merasakan program berkenaan sangat bermanfaat bagi mempelajari kenegaraan.

Bagi adik kepada Ieuseuf Hafiz, Ieahiea Hasif,  program PLKN dapat meningkatkan semangat cintakan negara seterusnya meningkatkan semangat patriotik dalam pembelajaran selama 45 hari sebelum merancang melanjutkan pengajian.

“Saya berbangga dapat menyertai program PLKN secara sukarela, sokongan ibu, Iswalah Arshad menambahkan lagi semangat saya dan abang.

“Kami yakin banyak pengalaman baharu dapat diterima sepanjang 45 hari program PLKN, peluang menembak antara aktiviti yang dinanti,” katanya.

Pasangan kembar tersebut merupakan antara 206 pelatih lelaki dari seluruh negara melapor diri bermula hari.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Latihan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKM), Brigadier General Zainudin Bahari berkata, pelatih diberi tempoh dua hari lagi untuk mendaftar.

Menurutnya mereka yang tidak hadir tanpa alasan kukuh berdepan tindakan undang-undang yang akan diputuskan oleh mahkamah.

Menurutnya, kem itu menyediakan 350 tempat kepada pelatih, seramai 179 pelatih telah lengkap menghantar dokumen.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati sesi menggunting rambut dilaksanakan terhadap para pelatih selain mereka diberi pakaian dan peralatan seperti beg.

Fong Bin Yu

Sementara itu Fong Bin Yu, 19, dari Negeri Sembilan berkata, sebagai generasi muda dan rakyat Malaysia, beliau perlu menggunakan peluang dengan mengambil bahagian dalam program itu bagi menghayati semangat perpaduan.

”Boleh jumpa ramai kawan di sini, dan sebagai rakyat Malaysia boleh belajar perpaduan dengan kaum lain.

”Saya harap akan dapat belajar lagi sejarah Malaysia dalam siri PLKN ini, penting untuk kita patuh arah kerajaan untuk sertai PLKN, tidak perlu takut untuk belajar bersama-sama,” katanya.

Thilendraj Serevendran

Thilendraj Serevendran, 18, berkata, walaupun pada mulanya beliau berat hati untuk menyertai PLKN namun berkat sokongan keluarga remaja ini menyahut cabaran berhadapan dengan pengalaman baharu.

Beliau berasa bertuah apabila dipilih dan menganggap pemilihan menyertai kursus tersebut merupakan peluang dan pengalaman yang mahal.

”Mula-mula 50-50 rasa nak pergi, tapi emak saya suruh pergi, keluarga pun cakap pergi jadi mereka semua gembira dan saya setuju melaporkan diri hari ini.

“Saya sayangkan ibu bapa dan berharap dapat menggembirakan mereka apabila saya sertai PLKN, jadi saya bersemangat datang untuk cuba semua latihan,” ujarnya.

Perlaksanaan program itu bertujuan memupuk semangat patriotisme, perpaduan nasional dan jati diri dalam kalangan golongan muda di Malaysia.

Selain itu kursus tersebut melengkapkan mereka dengan ketahanan menghadapi cabaran hidup menerusi pengalaman latihan fizikal dan mental.

PLKN 3.0 Siri 2/2025 itu mengekalkan modul latihan yang sama iaitu merangkumi 30% elemen kenegaraan dan 70% elemen asas ketenteraan.

Seramai 344 wira program PLKN melapor diri untuk menjalani latihan selama 45 hari bermula 11 Mei 2025 sehingga 24 Jun 2025.

Ia membabitkan 206 orang pelatih lelaki dan 138 orang pelatih wanita telah ditempatkan di Kem Rejimen 505 (AW) Kem Force 136, Pekan, Pahang dan Kem Rejimen 515 (AW), Jalan Buku Lima, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here