KUALA LUMPUR – Seramai 344 orang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2 2025 telah melapor diri untuk menjalani latihan selama 45 hari bermula hari ini sehingga 24 Jun depan.
Daripada jumlah itu seramai 206 orang pelatih lelaki dan 138 orang pelatih wanita melapor diri di Kem Rejimen 505 (AW) Kem Force 136, Pekan, Pahang dan Kem Rejimen 515 (AW), Jalan Buku Lima, Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Ya’cob Samiran berkara, pihaknya telah melaksanakan penambahbaikan dengan mengasingkan pelatih mengikut jantina di dua kem berbeza.
Bagi kem 505 (AW) Pekan, Pahang, ia menempatkan pelatih lelaki manakala, kem 515 (AW) Kuala Lumpur menempatkan pelatih wanita.
“Namun, (kita) masih mengekalkan modul latihan yang sama iaitu merangkumi 30 peratus elemen kenegaraan dan 70 peratus elemen asas ketenteraan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, bagi pelatih yang telah terpilih tetapi belum melapor diri di kem yang ditetapkan, mereka masih berpeluang untuk hadir sebelum pukul 12 tengah hari 16 Mei ini.
Katanya, pelatih yang gagal untuk melapor diri pada tarikh dan masa berkenaan, mereka boleh dirujuk ke Bahagian Undang-Undang selaras dengan Seksyen 18 (1) Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).
Sehubungan itu beliau berkata, JLKN menggesa mana-mana pelatih yang telah terpilih untuk terus melapor diri di kem-kem berkenaan.
Sebarang maklumat lanjut berkenaan perkara itu, boleh berhubung dengan Unit Pelatih, Bahagian Pengurusan Pelatih Jabatan Latihan Khidmat Negara di talian 014-234 5989, 019-310 1090 dan 019-333 2467. – MalaysiaGazette