BATU PAHAT – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki merosakkan kenderaan rasmi Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading di hadapan premis itu di Parit Yaani, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Batu Pahat mendapati kejadian dipercayai berlaku pukul 11.00 pagi semalam.
“Suspek bermotosikal telah memecahkan cermin sebuah kenderaan bagi kegunaan kakitangan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading yang diparkir di lokasi tersebut.
“Bertindak melalui siasatan dan tindakan lanjut BSJD Batu Pahat berjaya menahan suspek lelaki tempatan berumur 37 tahun di sebuah rumah di kawasan Tongkang Pechah, di sini, pukul 3 petang semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan dilaporkan berkata, Toyota Estima milik pejabatnya itu dipecahkan suspek tidak dikenali yang menaiki motosikal.
“Pegawai saya cuba mengejar pelaku namun tidak berjaya. Bagaimanapun, nombor plat motosikal suspek sempat direkodkan,” ujar Aminolhuda.
Shahrulanuar berkata, pihaknya turut merampas kenderaan, pakaian dan peralatan yang digunakan suspek semasa melakukan perbuatan tersebut.
Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek katanya, mendapati positif dadah jenis ‘Methamphetamine’.
Katanya, siasatan polis mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod kes jenayah lampau dan ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula hari ini hingga 14 Mei ini untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette