JOHOR BAHRU – UMNO Johor akan terus bersiap siaga dengan segala kemungkinan!
Itu penegasan Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah berkenaan kenyataan Pakatan Harapan (PH) sedia bertanding solo dalam pilihan raya negeri (PRN).
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai berkata, selagi belum ada pengumuman rasmi mengenai PRN, fokus UMNO Johor tetap pada rakyat dan negeri ini.
“Kami percaya, keikhlasan dalam bekerja akan terus menjadi kekuatan UMNO Johor untuk terus diberi kepercayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor, Dr Zuhan Zain dilaporkan berkata, PH Johor sedia bertanding secara solo tanpa perlu kerjasama dengan mana-mana gabungan politik pada PRN nanti.
Dr Zuhan Zain berkata, PH boleh bertanding di semua kerusi di Johor kerana melihat kemungkinan itu ada.
“Ini kerana Amanah Johor melihat kemungkinan itu selepas melihat situasi yang berlaku dalam negara ketika ini,” ujar Ketua Amanah Kawasan Kluang itu.
Mengulas lanjut, Md Israk berkata, UMNO Johor mahu Dr Zuhan memahami politik Johor dan cara berpolitik di Johor.
Tegas beliau lagi, pendirian UMNO ketika ini adalah terus bekerja untuk rakyat dan bukan bermain politik tanpa henti.
Jelasnya, keutamaan sekarang bukan soal gabungan atau rundingan kerusi tetapi memberi tumpuan kepada kerja-kerja yang menyentuh langsung kehidupan rakyat.
“Bangsa Johor mahukan pemimpin yang mendengar, bekerja dan membawa hasil. Bukan hanya sibuk berpolitik tanpa henti.
“UMNO Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Negeri UMNO Johor kekal fokus dengan agenda Maju Johor yang mendahulukan kepentingan rakyat.
“Dalam suasana ekonomi yang mencabar dan keperluan rakyat yang semakin mendesak, usaha kerajaan negeri perlu tertumpu kepada dasar dan tindakan yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan Bangsa Johor dan bukan sekadar mengatur gabungan atau agihan kerusi,” tambahnya.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN