Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menyampailam ucapan ketika hadir bagi merasmikan sambutan Hari UMNO Ke-79 dan Majlis Konvokesyen Sekolah Patriotik di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 11 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Idea penubuhan Sekolah Patriotik UMNO (SPU) sebenarnya diilhamkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak beliau mula menerajui parti Melayu itu pada 2018.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penubuhan SPU merupakan satu cerminan dan kesungguhan barisan kepimpinan tertinggi dalam meneruskan kelangsungan parti itu pada masa akan datang.

“Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi begitu bersungguh-sungguh untuk memastikan kesinambungan dan kader-kader parti ini benar-benar kita dapat lahirkan yang mempunyai jiwa, roh, dan akal UMNO sebenar.

“Hasrat beliau sebenarnya telah pun dibangkitkan seawal 2018 sejurus selepas beliau dipilih sebagai Presiden UMNO.

“Namun hari ini akhirnya dapat direalisasikan apabila diberikan amanah kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya berucap kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-79 UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Asyraf juga berkata, penubuhan SPU perlu dijiwai semua peringkat sama ada kepimpinan tertinggi, negeri mahupun bahagian UMNO.

“Penerusan dan kelangsungan perjuangan UMNO yang tidak perlu saya ulas kerana semuanya amat memahami jasa dan sumbangan parti ini kepada pembinaan negara bangsa sebagaimana kita lihat pada hari ini.

“Namun perkara paling mustahak yang harus kita khuatiri sekiranya kita tidak mampu meninggalkan pewaris-pewaris perjuangan yang mempunyai jiwa nurani kental, memahami asas dan idealisme perjuangan UMNO sejati,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here