KUALA LUMPUR –  Presiden UMNO menyeru seluruh ahli dan pendukung parti ini, terutamanya generasi muda untuk bangkit, perbaharui tekad dan iltizam bersama untuk terus menyuburkan semangat juang.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga mahu ahli-ahli UMNO mempertahankan legasi dan warisan serta bersiap-siagalah untuk memimpin Malaysia ke arah masa depan yang lebih progresif dan adil.

Dalam ucapan beliau sempena sambutan ulang tahun ke-79 UMNO, Ahmad Zahid berkata, UMNO telah melalui sebuah perjalanan panjang perjuangan bangsa yang penuh liku selama 79 tahun namun UMNO tetap teguh berdiri.

“79 tahun bukanlah usia yang kecil. Ia lambang kematangan dan kekuatan akar perjuangan.

“Dalam usia ini, UMNO telah melahirkan generasi pemimpin, membangunkan institusi, menegakkan keadilan sosial dan memberi harapan kepada rakyat di kota mahupun di desa,” katanya.

Menurut beliau, UMNO merupakan wadah perjuangan rakyat yang lahir dari semangat kebangsaan, diasaskan atas keikhlasan dan keberanian anak watan yang menolak penjajahan dan menuntut kemerdekaan.

Katanya, sejak 1946, UMNO telah menjadi tiang seri kepada pembentukan negara bangsa Malaysia.

Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran seperti perpecahan, persepsi, politik fitnah dan gelombang perubahan,  UMNO tidak pernah lari daripada tanggungjawabnya.

Bahkan, jelasnya, hari ini, UMNO kembali menjadi tunjang kestabilan dalam Kerajaan Perpaduan, memperjuangkan agenda pembangunan yang inklusif dan sejahtera untuk seluruh rakyat Malaysia.

“UMNO telah melalui hampir lapan dekad perjuangan.

“Insya-Allah, dengan kesatuan dan keberanian kita akan terus membawa UMNO ke abad yang kedua sebagai parti yang membina, bukan membinasakan!,” ujarnya sambil menzahirkan penghargaan dan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun kepada seluruh ahli UMNO yang setia berjuang mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here