KUALA LUMPUR – Pelakon, Bront Palarae mencipta sejarah peribadi apabila merangkul trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Baan Nang Klang Lakorn ke-21 di Thailand.

Menerusi filem The Cursed Land, pemilik nama penuh Nasrul Suhaimin Saifuddin, 46, berjaya mencuri perhatian juri dengan lakonan bertenaga dan penuh emosi.

Katanya, pengiktirafan tersebut sesuatu yang tidak pernah disangkanya,seperti mana penglibatannya membintangi filem Thailand meskipun sudah lama menjadi impian.

“Berlakon dalam filem Thai terasa seperti satu mimpi yang jauh dan kini, menerima penghargaan ini memang di luar jangkaan.

“Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik daripada Anugerah Baan Nang Klang Lakorn ke-21 (Thailand),”katanya menerusi hantaran di Instagram.

Dia turut mengucapkan penghargaan kepada seluruh pasukan produksi The Cursed Land atas kerja keras dan dedikasi mereka.

Bront turut merakamkan penghargaan khas kepada Panu Aree dan Kong Rithdee atas jemputan, serta Penerbit Kreatif, Nonzee Nimibutr; Chankit (Sinematografer) dan Suraphi (Penolong Pengarah Pertama) atas sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang penggambaran.

“Berkongsi layar dengan pelakon-pelakon berbakat seperti Ananda Mathew Everingham, Jennis, mendiang Sida Puapimon serta duo Melayu (Han Zalini & Firdaus Karim) merupakan pengalaman yang tidak akan saya lupakan,” tambahnya.

Kemenangan tersebut menyaksikan Bront menewaskan lima pencabar hebat termasuk Benjamin Varney dan Bhumipat Thavornsiri menerusi filem In Youth We Trust, Wanarat Ratsameerat (Taklee Genesis) serta dua pelakon filem pecah panggung How to Make Millions Before Grandma Dies, Sanya Kunakorn dan Pongsatorn Jongwilas.

Sebagai info, filem The Cursed Land turut tercalon dalam tiga kategori lain iaitu Sinematografi Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Dalam pada itu, Bront turut meluahkan harapannya agar industri perfileman Thailand memberi lebih ruang kepada kisah-kisah komuniti Melayu di Selatan Thailand untuk diketengahkan.

“Saya berharap suatu hari nanti sinema Thailand akan lebih banyak mengangkat suara kecil dan sejarah kaya komuniti Melayu di selatan. Kisah-kisah ini layak untuk didengari dan diraikan,”katanya lagi.

Anugerah Baan Nang Klang Lakorn merupakan acara berprestij yang mengiktiraf karya televisyen serta penstriman cemerlang di Thailand sepanjang tahun.

Bront pernah meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2015.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here