KUALA LUMPUR – Di sebalik dakwaan bahawa program MyKiosk hanyalah satu lagi ‘projek gajah putih’ yang membazirkan wang rakyat, realiti di Sitiawan menceritakan kisah yang jauh berbeza.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka, Jason Ng Thien Yeong tampil mempertahankan inisiatif Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu sambil mendedahkan bahawa MyKiosk kini menjadi rebutan dalam kalangan peniaga kecil dan penjaja di kawasan tersebut.
Jason berkata, sambutan terhadap MyKiosk bukan sahaja memberangsangkan sejak ia diperkenalkan, malah beberapa kiosk yang masih belum digunakan telah pun menerima permohonan melebihi kapasiti sedia ada.
“Sebagai contoh, di kawasan lapang bersebelahan sebuah kuil Hindu di pusat bandar Sitiawan, lapan daripada 10 unit kiosk sudah pun digunakan dan kebanyakannya beroperasi dari petang hingga lewat malam.
“Malahan dua unit yang masih kosong pun sudah menerima enam permohonan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, ramai penjaja yang sebelum ini hanya bergantung kepada tapak niaga terbuka atau di kaki lima tetapi inisiatif MyKiosk telah memberi nafas baharu kepada perniagaan mereka.
“Dengan kadar sewa yang hanya RM100 sebulan, ia turut membantu meringankan beban kos operasi ketika ekonomi masih dalam fasa pemulihan.
“Maklum balas yang diterima daripada para peniaga juga sangat positif.
“Ramai menyatakan bahawa jualan mereka meningkat sejak berpindah ke MyKiosk selain menarik lebih ramai pelanggan kerana kemudahan yang ditawarkan lebih selesa dan bersih,” tambahnya.
Kesan positif inilah yang mendorong Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Bandar Baru Setia Awan Perdana (BBSAP) untuk memohon tambahan 30 unit MyKiosk daripada pihak berkuasa tempatan.
Mereka kini sedang menunggu kelulusan bagi menempatkan lebih ramai peniaga yang masih belum mendapat peluang.
Susulan permintaan tinggi itu, Jason turut mencadangkan agar mana-mana kiosk yang tidak digunakan di lokasi lain dialihkan ke Sitiawan untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti setempat yang jelas menunjukkan minat dan kesungguhan untuk berniaga.
Mengulas tuduhan beberapa pemimpin pembangkang yang menyifatkan MyKiosk sebagai satu kegagalan, Ng menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas dan berniat untuk mengelirukan rakyat.
“Mereka tidak turun padang dan tidak tahu keadaan sebenar.
“Kita alu-alukan kritikan yang membina, misalnya dari segi penambahbaikan ke atas bateri panel solar kiosk, tetapi menuduh MyKiosk sebagai projek gagal hanyalah agenda politik murahan,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa usaha kerajaan melalui KPKT terus komited dalam memperkenalkan dasar dan inisiatif yang benar-benar memberi impak kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang bergantung kepada perniagaan kecil sebagai sumber pendapatan utama.
Program MyKiosk, yang menyediakan ruang niaga lengkap dan tersusun kepada peniaga kecil khususnya daripada golongan B40, dilihat bukan sahaja memberi peluang kepada mereka untuk berniaga secara sah dan lebih selesa.
Malah turut menyumbang kepada penambahbaikan landskap bandar serta meningkatkan imej persekitaran. – MalaysiaGazette