MELAKA – Seorang bayi perempuan 22 bulan yang mengalami demam panas diserang sawan selepas didakwa gagal diberikan rawatan di sebuah hospital kerajaan meskipun sudah menunggu hampir 11 jam, Sabtu lalu.
Video berdurasi 13 minit memaparkan tangisan dan rintihan bayi berkenaan yang sedang menanggung kesakitan, tular di media sosial mengundang hiba warga net.
Ramai yang meninggalkan komen dan menggesa supaya ’kekejaman’ yang dikatakan sudah banyak kali berlaku sebelum ini, dihentikan.
Ibu bayi berkenaan, Siti Aishah bt Rahim, 27, berkata, dia dan ibunya tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka pada jam 2.30 petang Sabtu lalu selepas badan anak sulungnya, Siti Farha Adelia Mohd Firdaus, 22 bulan tiba-tiba panas.
“Semasa tiba di hospital, jururawat cuma mengambil darah anak dan terus membiarkan bayi berusia 22 bulan saya sehingga suhu badannya meningkat pada tahap 38, 39 dan 40 darjah celcius.
“Puas saya tanya dan jawapan diberikan hanya meminta saya tunggu sehinggalah bayi saya diserang sawan pada pukul 1 pagi semalam (Ahad) menyebabkan badannnya kejang,” katanya menerusi status Facebook bersama video tular berkenaan.
Menurut Siti Aishah, anaknya dibawa petugas dari Zon Hijau ke Zon Kuning selepas keadaannya semakin teruk dan kelihatan seperti sedang bertarung nyawa.
“Daripada dia boleh aktif terus kena sawan dan masa doktor hendak stabilkan Siti Farha, memang hancur hati saya bila pihak hospital tidak bertanggungjawab memperlakukan anak seperti alat mainan.
“Ini nyawa bayi tidak berdosa, mana pergi semua petugas di Zon Hijau? Saya seperti orang bodoh, (apabila) tanya dengan jururawat, tiadakah wad kosong sebab badan anak sudah menggigil sebelum diserang sawan.
“Kau sebagai pihak bertanggungjawab sepatutnya periksa keadaan pesakit. tapi hancur hati aku bila jawapan diberikan ‘puan tunggu je sampai misi wad datang panggil’ sambil muka kau mengadap PC (komputer),” luahnya lagi.
Dalam status lain yang dimuat naik, Aishah memberitahu anaknya itu disahkan terkena jangkitan Adenovirus, iaitu kelompok virus yang menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan, mata, paru-paru, dan saluran pencernaan.
Sementara itu wanita itu ketika dihubungi pemberita pagi ini mengesahkan keadaan bayinya itu masih belum lagi stabil sepenuhnya dan sudah dimasukkan cecair antibiotik.
“Suhu badan masih lagi tidak turun sepenuhnya kesan daripada jangkitan Adenovirus dan Siti Farha hanya mampu aktif sekejap sahaja sebelum kembali lemah.
“Pagi tadi pun, pihak pengurusan tertinggi Hospital Melaka ada datang melawat dan meminta maaf atas kejadian itu serta akan melakukan siasatan terhadap insiden ini yang tidak sepatutnya berlaku. – MalaysiaGazette