Gambar hiasan

BANDAR PERMAISURI – Kegembiraan lapan sekawan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memanfaatkan cuti umum dengan mandi di Lata Changkah bertukar tragedi apabila seorang daripadanya lemas.

Muhammad Hady Izzudyn Ikmal Hisam, 23, berkata, dia dan mangsa Wan Ahmad Irfan Wan Abdullah Thani, 24, yang kali pertama mengunjungi kawasan air terjun berkenaan, pada mulanya mandi bersama enam lagi rakan mereka di bahagian tengah lata berkenaan.

“Saya kemudian naik ke darat untuk minum dan melihat mereka berenam semakin ke tengah dan sebenarnya mereka tidak pandai berenang.

“Tidak lama selepas itu, saya nampak mereka semua mula terkapai-kapai. Saya pun pergi tolong dan berjaya selamatkan lima daripada mereka dengan bantuan orang awam. Tapi, Wan Ahmad Irfan kami tak jumpa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Komander Operasi Zuraidi Mohd Yusuf dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.42 petang sebelum menggerakkan sepuluh anggota ke lokasi.

Operasi mencari dan menyelamat penuntut Fakulti Undang-Undang itu katanya bermula 4 petang sebelum mayat Wan Ahmad Irfan ditemukan di dasar air pada kedalaman 4.5 meter, kira-kira 28 minit selepas itu.

“Lima rakan mangsa yang hampir lemas dihantar ke Hospital Setiu untuk menerima rawatan, manakala mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca. Memang ketika kejadian tidak hujan di lokasi tapi keadaan air yang keruh mungkin menandakan berlakunya hujan di kawasan hulu,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here