Logo Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). foto NOOREEZA HASHIM, 23 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik dan menyokong pelantikan Datuk Abdul Kadir Din sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Persatuan tersebut menerusi kenyataan berkata, suruhanjaya itu memerlukan suntikan kepakaran yang mampu menggalas tugas bagi mengurangkan impak dalam masa yang sama, memperbaiki bekalan dan kualiti air negara.

Sehubungan itu katanya, berdasarkan kredibiliti dan rekod perkhidmatan kecemerlangannya, pelantikan Abdul Kadir adalah langkah strategik yang dapat mempercepatkan proses reformasi sektor air, sejajar dengan aspirasi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

“Langkah melantik tokoh berpengalaman seperti Abdul Kadir juga dilihat selaras dengan dasar kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus melalui pelantikan individu berkelayakan profesional bagi mengetuai agensi-agensi penting negara,” katanya.

Menurut PPIM, Abdul Kadir aktif mempromosikan kemajuan industri melalui penglibatan sebagai penceramah, panelis dan moderator dalam pelbagai konvensyen, seminar serta persidangan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Justeru, sebagai seorang sosok yang profesional, beliau diyakini akan memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman sepanjang kariernya sebelum ini demi memperhebat industri tersebut dengan integriti.

“Pengalaman dan pengetahuan mendalam yang dimiliki beliau seharusnya dilihat sebagai nilai tambah yang mampu membantu melonjakkan industri air negara ke tahap yang lebih tinggi.

“Beliau juga aktif mempromosikan kemajuan industri melalui penglibatan sebagai penceramah, panelis dan moderator dalam pelbagai konvensyen, seminar serta persidangan peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” tambahnya.

Tambah PPIM, antara sumbangan besar beliau ialah secara langsung dalam pembangunan dokumen Pelan Transformasi Air 2040, yang kini menjadi panduan utama dalam merealisasikan pembaharuan menyeluruh sektor air negara.

“Selain itu, beliau turut dikenali sebagai pakar rujuk (subject matter expert) dan telah menyumbang ilmu serta kepakaran beliau kepada beberapa institusi pengajian tinggi tempatan melalui pelantikan sebagai pensyarah jemputan (adjunct lecturer).

“Ini menunjukkan komitmen beliau dalam memperkasa generasi profesional masa hadapan dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan air,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof membatalkan pelantikan Abdul Kadir sebagai Pengerusi SPAN bagi menggantikan  Charles Anthony Santiago.

Presidennya, R. Meenakshi berkata, ia susulan risiko berlaku konflik kepentingan Abdul Kadir dengan syarikat swasta berkaitan pengurusan air dan sisa.

Selain itu Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan  turut menyuarakan kebimbangan yang sama.

Kemudian, PETRA menerusi kenyataan menjelaskan Pengerusi SPAN baharu itu telah melepaskan jawatannya dalam syarikat swasta yang dikatakan, sebelum memulakan tugas barunya pada 5 Mei lalu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here