KUALA LUMPUR – Tindakan beberapa kerajaan negeri membuat ketetapan larangan jualan vape dianggap mengundang kekeliruan dalam kalangan pemain industri dan pengguna.
Menurut Pengarah Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil, ini kerana kerajaan persekutuan telah meluluskan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam bagi mengawal selia industri itu secara sah.
“Ini kerana di satu pihak, Kerajaan Persekutuan telah menyeru kepada pengawalseliaan yang lebih baik tetapi pada masa yang sama berlakunya tindakan pengharaman penuh di peringkat kerajaan negeri.
“Perkara ini menimbulkan persoalan seolah-olah kerajaan negeri menidakkan kebijaksanaan perundangan dan peraturan yang telah di buat di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan.
Jelas Shahabudeen, isu sebenar yang perlu diberi perhatian adalah penyalahgunaan vape oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan memasukkan atau menyeludup masuk bahan terlarang seperti ‘Vape Magic Mushroom’.
“Malah vape terlarang itu kini dijual secara terbuka di sosial media oleh pihak tidak bertanggungjawab dan ia bukannya vape yang dijual oleh syarikat tempatan yang sah.
“Mengalih tumpuan kepada industri yang mematuhi undang-undang hanya akan mengalihkan perhatian daripada kelemahan sebenar bukan saja dalam sistem penguatkuasaan di pintu masuk negara tetapi di peringkat pihak berkuasa tempatan.
“Semua pihak seharusnya melawan masalah sebenar iaitu penyeludupan dan penyalahgunaan dadah, bukan menghukum industri tempatan yang patuh undang-undang,” tambahnya.
Katanya, industri vape bukan sekadar menjual peranti pengganti rokok semata-mata, malah kini memberi sumbangan kepada ekonomi negara serta menyediakan ribuan peluang pekerjaan.
“Tindakan mengharamkan penjualan vape hanya akan membuka ruang kepada pasaran gelap atau penyeludupan untuk berkembang tanpa kawalan yang akan menjadi satu risiko
yang jauh lebih besar kepada masyarakat,” katanya lagi.
Beliau berkata, sebagai jenama vape tempatan yang telah beroperasi sejak 2018, Nanostix sentiasa mematuhi segala peruntukan perundangan sedia ada.
Justeru itu, beliau menggesa kerajaan negeri menyemak semula pengharaman penjualan peranti alternatif kepada rokok itu kerana didakwa tidak seiring dengan undang-undang dikuat kuasa persekutuan.
Sebagai rekod, Johor menjadi negeri pertama mengharamkan penjualan vape sepenuhnya sejak 2016, diikuti Kelantan dan Terengganu yang turut melaksanakan larangan serupa atas dasar kesihatan dan prinsip agama.
Melaka pula dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan larangan penjualan vape di kawasan tertentu, manakala Selangor mengkaji pendekatan kawalan ketat menerusi pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, Perlis dilapor turut meneliti langkah pengawalan lebih ketat susulan peningkatan penggunaan dalam kalangan belia.-MalaysiaGazette