Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan dakwaan Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengatakan ratusan aduan dan bantahan daripada ahli parti tidak dijawab sepanjang proses pemilihan peringkat bahagian berlangsung.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Pengerusi JPP, Datuk Ahmad Kasim berkata kenyataan Rafizi itu tidak berasas dan amat dikesali memandangkan setiap aduan yang diterima telah diurus secara teliti, profesional dan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh parti.

Menurutnya, garis panduan dan peraturan berkaitan pemilihan telah pun diluluskan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 23 Februari 2025 dan disahkan oleh Biro Politik pada 3 Mac lalu, di mana Rafizi sendiri merupakan anggota kepada kedua-dua badan pembuat keputusan itu.

“Peraturan ini menetapkan dengan jelas bahawa setiap bantahan atau rayuan mestilah disertakan dengan bukti mencukupi. Beban pembuktian pula terletak kepada pihak yang mengemukakan aduan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad menjelaskan bahawa sebanyak 289 aduan dan bantahan telah diterima oleh JPP yang melibatkan pelbagai fasa pemilihan termasuk pencalonan, rayuan, proses pengundian serta kempen. Semua aduan itu, katanya, telah disemak dan dikendalikan sewajarnya.

Tambah beliau, beberapa aduan juga telah dirujuk kepada pejabat Setiausaha Agung serta Lembaga Disiplin untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing.

Malah tindakan ini, katanya, menunjukkan proses pemilihan dijalankan secara bertanggungjawab.

Sabtu lalu, Rafizi mendakwa bahawa Pengerusi JPP, Dr. Zaliha Mustafa tidak memberi sebarang respon terhadap ratusan bantahan yang dikemukakan ahli.

Menteri Ekonomi itu turut menyatakan panel JPP hanya mula melihat bantahan selepas proses pemilihan selesai dijalankan.

Ahmad bagaimanapun menegaskan bahawa JPP turut meneliti bantahan terhadap keputusan pengundian selepas tamatnya pemilihan di peringkat bahagian.

Malah, katanya, terdapat enam bahagian yang telah diarahkan menjalankan pemilihan semula berdasarkan siasatan yang dilakukan.

Beliau menambah, segala perkembangan penting berkaitan proses pemilihan telah dilaporkan secara berkala kepada MPP.

Maka adalah mustahil, kata Ahmad, untuk dakwaan Rafizi bahawa beliau tidak mengetahui perkara ini dianggap munasabah.

“Segala perkembangan penting berkaitan Pemilihan 2025 juga telah dilaporkan secara berkala kepada MPP, dan adalah mustahil untuk perkara ini tidak berada dalam pengetahuan mana-mana anggota MPP termasuk Saudara Rafizi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here