KUALA LUMPUR – Cubaan segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di bumbung premis mengelak dicekup berjaya digagalkan sekumpulan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor.
Serbuan di Pasar Moden SS15, Subang Jaya sekitar pukul 11.15 pagi tadi mendapati rata-rata mereka sedang bekerja di pasar basah dengan menjual ikan, ayam serta premis makanan di tingkat atas.
Bukan itu sahaja, suasana turut bertukar kecoh apabila ada majikan warga tempatan tidak berpuas hati selepas pekerjanya ditahan dan berlaku pertelingkahan namun berjaya dikawal.

Malah ada majikan wanita berusia 60-an didakwa membuat isyarat kepada pekerjanya supaya segera melarikan diri ketika serbuan dilakukan.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, seramai 80 individu telah diperiksa dengan 38 PATI ditahan.
“Daripada jumlah itu, seramai 27 lelaki dan 11 wanita ditahan membabitan warga Indonesia, India dan Myanmar berusia antara 17 hingga 53 tahun.

“Ketika serbuan, ada juga individu yang cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh pegawai JIM,” katanya selepas operasi itu selesai hari ini.
Tambah Khairrul Aminus, kesemua PATI dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963. – MalaysiaGazette