KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mencabar Pemuda Pas untuk berdebat secara terbuka berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Pengarah Biro Strategi Pemuda Amanah Nasional, Dr Nash Nahar berkata, debat itu adalah susulan hasrat Pemuda Pas yang mahu menganjurkan perhimpunan bagi membantah pelaksanaan akta itu pada 14 Jun ini.
Katanya, undangan debat tersebut telah diberikan sejak seminggu lalu untuk bermujadalah mengenai perkara berkenaan secara terbuka.
“Amanah dengan ini menjemput wakil Pemuda Pas untuk menyertai satu sesi debat terbuka yang membincangkan secara tuntas isu URA meliputi baik dan buruk pelaksanaan akta ini.
“Debat ini bertujuan memberi ruang kepada semua pihak untuk membentangkan hujah, fakta dan data secara beradab dan bertanggungjawab, demi manfaat rakyat untuk menimbangtara fakta dan data terkait isu ini,” katanya dalam kenyataan.
Nash berkata, Amanah tidak menafikan hak mana-mana pihak untuk berhimpun secara aman.
Bagaimanapun katanya, adalah lebih matang dan ‘jantan’ untuk berhujah secara bersemuka, bukan sekadar mencipta ketakutan dalam kalangan rakyat tanpa sebarang solusi atau alternatif yang jelas.
“Amanah percaya rakyat berhak mendapat penjelasan menyeluruh, bukan retorik kosong atau momokan politik.
“Maka kami alu-alukan kehadiran wakil Pemuda Pas dalam debat ini, yang akan kami uruskan secara telus dan professional,” tambahnya.
Sebelum ini, Pemuda Pas mengumumkan untuk menganjur satu himpunan aman bagi membantah cadangan RUU berkenaan yang akan diadakan sekitar kawasan Lembah Klang pada 14 Jun depan.
Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pembangunan yang sebenar tidak sepatutnya dijadikan alat peminggiran atau penindasan terhadap rakyat, terutama golongan lebih lemah dan terdedah kepada risiko kehilangan tempat tinggal serta komuniti asal mereka.
Justeru katanya, Pemuda Pas akan berada di barisan hadapan membela nasib rakyat yang semakin ditekan dasar-dasar yang dilihat meminggirkan.
Dalam masa sama Afnan Hamimi berkata, Pemuda Pas akan menggerakkan wakil bagi menyerahkan memorandum bantahan berhubung RUU tersebut kepada seluruh ahli Parlimen di kawasan masing-masing. – MalaysiaGazette