KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Moscow bagi memulakan lawatan rasmi empat hari ke Rusia.
Ketibaan beliau disambut dengan kawalan kehormat sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo pada pukul 6.26 petang waktu tempatan (11.26 malam waktu Malaysia).
“Alhamdulillah, saya telah selamat tiba ke Moscow petang tadi bagi memulakan rangka lawatan rasmi ke Persekutuan Rusia sehingga Jumaat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan peringkat tertinggi bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin bagi memperkukuh kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik.
Beliau turut dijadualkan bertemu beberapa pemimpin industri utama Rusia bagi menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ke Malaysia.
“Doakan misi saya bersama delegasi Malaysia berjaya menggalas amanah besar memangkin pertumbuhan ekonomi, memperluas jaringan strategik serta membawa limpahan kemakmuran untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan akan berada di Moscow sehingga Jumaat sebelum meneruskan perjalanan ke Kazan bagi menghadiri Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Islamic World dan KazanForum. – MalaysiaGazette