Gambar SPRM.

KUANTAN – Pahang akan menerapkan sistem Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) dan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) di semua jabatan kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah tersebut diambil bagi memperkukuhkan integriti serta  memastikan setiap organisasi memiliki mekanisme pencegahan rasuah yang mantap sekaligus mengurangkan sebarang risiko ketirisan dan salah guna kuasa.

“Dengan pelaksanaan sistem ini, setiap organisasi akan dapat mengenal pasti, menganalisis dan mengawal risiko rasuah dengan lebih sistematik.

“Sistem ini juga akan memastikan bahawa setiap keputusan yang diambil dalam pentadbiran negeri ini dibuat berdasarkan prinsip ketelusan dan akauntabiliti yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Lafaz Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menghargai komitmen dan usaha murni SPRM serta kerajaan dalam menangani isu rasuah dalam negara.

Malah, katanya, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan SPRM amat penting dalam memastikan kejayaan agenda integriti yang diusahakan bersama.

Ujar beliau, Pahang akan terus menyokong segala dasar dan inisiatif yang diperkenalkan oleh SPRM dan kerajaan.

Ia dilihat sebagai usaha memperkukuhkan ketelusan, meningkatkan penguatkuasaan undang-undang serta memastikan keadilan terpelihara dalam setiap aspek pentadbiran dan pengurusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here