SEGAMAT – Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya membongkar perbuatan seorang lelaki warga emas mendera seekor kucing milik jirannya di Taman Yayasan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, sebelum itu pemilik kucing berkenaan iaitu seorang wanita tempatan menyedari kucing jenis Turkish miliknya hilang.
Katanya, wanita berkenaan membuat laporan polis dan pihaknya mengesan satu rakaman video serta gambar kejadian itu yang tular dalam media sosial memaparkan seekor kucing dalam keadaan cedera.
“Semasa kejadian itu, ketika mencari kucingnya wanita tersebut ternampak jirannya iaitu lelaki tempatan sedang menjolok sesuatu dalam longkang.
“Wanita itu kemudian mendapati kucingnya di dalam longkang berlumuran darah dipercayai dipukul suspek,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, menerusi pemeriksaan rakaman CCTV di kawasan kejiranan memaparkan perbuatan suspek memukul dan melempar kucing berkenaan ke kawasan rumah tidak berpenghuni.
Katanya, tangkapan suspek yang berusia 70-an dilakukan pada 12.20 tengah malam tadi dan hasil soal siasat suspek mengakui memukul kucing berkenaan kerana merasa terganggu.
Kes disiasat bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tambahnya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat kejadian jenayah di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat 07-9324222.- MalaysiaGazette