BUKIT MERTAJAM – Polis menumpaskan cubaan mengedar dadah apabila menahan dua lelaki tempatan bersama 50 ketulan mampat ganja dalam serbuan di Perai di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, masing-masing suspek yang berusia 45 dan 59 tahun itu ditahan pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Narkotik Bukit Aman. ketika menaiki sebuah kereta.
Jelas beliau, pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki suspek membawa kepada penemuan daun disyaki ganja seberat 51,180 gram yang dianggarkan bernilai RM158,658.
“Semakan rekod lampau mendapati kedua-duanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah namun saringan air kencing mendapati mereka negatif daripada sebarang jenis dadah.
“Mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 17 Mei depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Helmi, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita dua buah kenderaan milik suspek yang dianggarkan bernilai RM81,000. – MalaysiaGazette