KOTA TINGGI – Seorang ibu tunggal bersama anak dan ibunya terpaksa meredah api ketika menyelamatkan diri dalam kebakaran di Jalan Surian, Taman Desaru Utama, Bandar Penawar di sini semalam.
Faridah Mohamed, 51, berkata, mereka tiga beranak nekad berbuat demikian dalam keadaan api sedang marak.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku pukul 5.30 pagi apabila tersedar daripada tidur selepas terhidu bau hangit sebelum mencari puncanya.
“Saya matikan kipas, barangan elektrik lain tetapi bau hangit tetap ada. Kira-kira pukul 6 pagi saya mulai kejut anak dan ibu sebab bau hangit semakin kuat.
“Bila buka pintu depan terus nampak kepulan asap dari kereta Perodua Kancil saya. Awalnya saya mahu lepaskan asap tersebut lalu buka pintu belakang kereta tapi tiba-tiba api terus menyambar.
“Ketika itu saya cuba ambil kain basah dan padam api namun tidak berjaya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri hari ini.
Bercerita lanjut, Faridah berkata, dia cuba menggunakan paip air tetapi bimbang api semakin marak.
“Saya masuk ke rumah semula tetapi api semakin marak. Akhirnya saya nekad ajak anak dan ibu redah api untuk keluar jika tidak kami akan terperangkap,” katanya.
Faridah yang menetap di rumah sewa itu sejak bercerai dengan suaminya, bersyukur kerana mereka terselamat meskipun terpaksa meredah api demi menyelamatkan diri.
Katanya, kereta Perodua Kancil miliknya itu merupakan satu-satunya kenderaan yang digunakan untuk mencari rezeki dengan menjual sate selepas bersara.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku meskipun menghadapi kerugian anggaran RM150,000 akibat kebakaran berkenaan.
Faridah percaya kebakaran berpunca daripada Perodua Kancil yang diparkir depan rumahnya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hazmi Zulkafli berkata, dua rumah teres di Jalan Surian itu musnah dalam kebakaran itu.
Beliau memberitahu, turut terbakar sebuah kereta dan dua buah motosikal.
Ujarnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.17 pagi sebelum mengerahkan 13 anggota dari BBP Penawar dan BBP Punggai ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di tempat kejadian enam minit kemudian mendapati kebakaran melibatkan dua unit rumah teres dimana kebakaran tersebut memusnahkan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan struktur bangunan kedua-dua rumah berkenaan.
“Beberapa kenderaan yang berada di lokasi turut terjejas dalam kebakaran tersebut antaranya termasuk sebuah Perodua Kancil dan sebuah motosikal Honda Jazz yang masing-masing terbakar sehingga 90 peratus, serta sebuah Honda Wave yang terbakar 50 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, Fauziah memaklumkan, dua buah rumah terjejas dalam kejadian tersebut yang turut melibatkan seorang lagi mangsa, Muhamad Khairul Anwar Ismail, 36.
“Saya bersama Pegawai Khas Ahli Parlimen Pengerang, Tuan Syed Ben Bella dan Ketua WHIP Majlis Perbandaran Pengerang telah menziarahi mangsa dan menyampaikan bantuan awal berupa kotak makanan serta wang tunai.
“Pihak Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) setuju untuk membantu menanggung sewaan rumah sementara buat mangsa. Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan menyampaikan bantuan lanjut,” katanya.
Menurut beliau, sumbangan turut disalurkan oleh Yayasan Makmur Pengerang dan Pusat Khidmat Parlimen Pengerang sebagai sokongan moral dan kewangan buat mangsa.
“Diharap sumbangan ini dapat meringankan beban dan membantu mereka meneruskan hidup sementara menunggu kediaman mereka dibaiki,” katanya. – MalaysiaGazette