Keadaan bangkai trak polis dan lori muatan batu dalam nahas jalan raya yang mengorbankan sembilan mangsa termasuk anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus - Sungai Lampan, Teluk Intan, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 MEI 2025. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneliti beberapa langkah tambahan bagi mencari penyelesaian terbaik untuk keselamatan anggotanya.

Langkah tersebut diambil berikutan insiden meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, semalam.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain berkata, perbincangan akan dilakukan dengan kepimpinan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

“Isu ini tidak hanya melibatkan FRU, ia turut melibatkan pasukan lain di bawah KDNKA seperti Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menggunakan lori jenis sama untuk pergerakan anggota.

“Kita sedang meneliti cadangan menambah baik sistem keselamatan dalam lori, struktur bangku panjang yang digunakan mungkin menimbulkan masalah dari segi keserasian dengan sistem penahan keselamatan yang ada,” katanya, hari ini.

Tambah beliau, antara langkah alternatif yang dipertimbangkan adalah penggunaan bas untuk membawa anggota ke lokasi operasi.

Bagaimanapun, terdapat kekangan bajet kerana jumlah anggota yang ramai memerlukan lebih daripada sebuah bas.

“Langkah lain yang sedang diperhalusi adalah penggunaan kereta peronda sebagai kenderaan pengiring konvoi.

“Ini bermakna setiap konvoi akan dikawal oleh kereta peronda dan tugas pengiring akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) lain apabila merentasi sempadan negeri,” ujarnya.

Razarudin berkata, sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas sesi libat urus bersama kepimpinan KDNKA kerana keselamatan anggota adalah menjadi keutamaan utama.

Semalam, sembilan anggota FRU dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan batu dan sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota termasuk pemandu.

Difahamkan kesemua mereka dalam perjalanan balik ke Ipoh selepas tugasan kawalan perarakan sempena sambutan Hari Wesak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here