KUALA LUMPUR – Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mendedahkan bahawa Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, adalah antara individu yang menggalakkan beliau untuk bertanding jawatan nombor dua dalam parti itu.
Menurut Nurul Izzah, dorongan tersebut hadir walaupun hubungan mereka pernah mengalami ketegangan dan tidak sentiasa sehaluan serta berbeza pandangan dalam isu-isu tertentu melibatkan dasar dan kepimpinan.
“Pak Hassan ini seorang rebel, with a cause. Beliau adalah antara yang lantang mengkritik khidmat saya ketika saya berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri (PMO), sebelum saya berundur dan menyerahkan tanggungjawab kepada En Nurhisham Hussein, ketika itu Pengarah Ekonomi dan Ketua Pegawai Strategi KWSP,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dibuat Nurul Izzah bersempena dengan berita keberangkatan Hassan Karim dan isteri bagi menunaikan ibadah haji, yang turut disertai dengan gambar santai mereka menikmati secawan kopi bersama.
Nurul Izzah turut mengimbas kembali detik-detik sukar yang dilalui bersama Hassan dalam menggerakkan jentera parti suatu ketika dahulu, termasuk usaha mengumpul dana daripada orang ramai bagi menampung keperluan penting seperti wang deposit semasa pilihan raya.
“Ketika PKR melalui detik getir, kita galas amanah rakyat dengan penuh keikhlasan. Kopi ini sememangnya keras, namun kerasnya kita tempuhi bersama,” ujarnya.
Sebagai anak sulung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyertaan Nurul Izzah dalam pemilihan parti kali ini menandakan kemunculan semula beliau dalam kancah politik nasional selepas beberapa ketika mengambil peranan di luar pentas utama.
Jawatan Timbalan Presiden PKR kini disandang oleh Rafizi Ramli untuk dua penggal berturut-turut, dan pertandingan ini dijangka menyaksikan saingan sengit antara dua tokoh berpengaruh dalam parti reformasi itu. – MalaysiaGazette