PETALING JAYA – Pengendali berpengalaman dari Brazil Joel Cornelli dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak wanita kebangsaan.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Suraya Yaacob dalam sidang media di Wisma FAM di sini hari ini yang turut dihadiri Cornelli.
Suraya berkata jurulatih berusia 58 tahun itu akan memulakan tugas secara rasmi hujung bulan ini, menggantikan Soleen Al-Zoubi yang kini berperanan sebagai Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita FAM.
“Kami amat mengalu-alukan kehadiran Cornelli dan saya percaya beliau dapat membawa pendekatan baharu terutama menjelang aksi Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 di Dushanbe, Tajikistan bulan depan.
“Beliau akan mula bekerja dengan barisan pemain pada kem latihan pusat Malayan Tigress yang dijadualkan hujung Mei. Dengan sokongan padu barisan kejurulatihan serta FAM, saya percaya kita mampu mencipta kejutan,” katanya.
Suraya berkata sasaran awal ditetapkan kepada Cornelli agar skuad bola sepak wanita kebangsaan mampu memberi saingan hebat dalam kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 dan mara ke separuh akhir Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.
Sementara itu Cornelli, yang memiliki pengalaman lebih dua dekad dalam bidang kejurulatihan, berbesar hati diberikan kepercayaan mengemudi Malayan Tigress, lebih-lebih lagi bagi mengharungi Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 di Dushanbe dari 23 Jun hingga 5 Julai ini.
“Saya percaya skuad ini mempunyai potensi dengan beberapa pemain dilihat mempunyai kualiti tinggi. Kami mempunyai satu bulan setengah (sebelum Kelayakan Piala Asia Wanita 2026), jadi saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk membentuk pasukan,” katanya pada sidang media berkenaan.
Antara pencapaiannya sewaktu menjadi jurulatih adalah membimbing kelab Indonesia, Arema FC menjuarai Piala Presiden 2024 selain membantu kelab bola sepak wanita Jordan, Etihad Club menjuarai Liga Pro Wanita Jordan 2023 dan Piala Juara-juara Arab Saudi 2023.
Bagi kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2026, Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama Korea Utara, Palestin dan tuan rumah, Tajikistan dengan hanya juara kumpulan layak ke Piala Asia Wanita 2026 di Australia dari 1-21 Mac 2026.
Sementara itu, Soleen berkata pelantikan Cornelli membantunya menumpukan aspek pembangunan menyeluruh bola sepak wanita negara, khususnya pembangunan belia, pendidikan jurulatih, program-program pembangunan dan perancangan teknikal jangka panjang. – BERNAMA