Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan dua kenderaan di Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Kulai hari ini.

KULAI – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di kilometer 21 Jalan Johor Bahru-Air Hitam dekat sini hari ini.

Kemalangan itu mengorbankan seorang lelaki, Chuah Chin Hoe, 50, yang memandu kereta Perodua Axia dan pemandu MPV jenis Toyota Vellfire, Nurzilatulhani Kunju Mohamed, 44, cedera dan patah kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, anggota kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima maklumat kemalangan tersebut pada pukul 3.30 petang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Axia yang datang dari Johor Bahru menuju ke Kulai telah hilang kawalan sebaik tiba di lokasi di kejadian.

“Perodua Axia tersebut telah terbabas dan seterusnya bertembung dengan sebuah MPV berkenaan. Pemandu kereta berkenaan mengalami cedera parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pemandu MPV berkenaan yang patah kaki kanan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk menerima rawatan lanjut.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu boleh mengubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Firdaus Mustaffa 011-26081008.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Kamal Shaari berkata, lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian, mangsa wanita tersebut telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai.

“Mangsa lelaki pula tersepit dan pihak bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas (RTA) dan disahkan sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, operasi tamat pukul 4.30 petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here