Muhammad Izuan Ahmad Kasim dan Arshad Hassni.

KUALA LUMPUR – Portal berita MalaysiaGazette bersedia menjadi penganjur program debat antara calon yang bertanding jawatan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagi pemilihan PKR 2025.

Dua calon yang menawarkan diri adalah penyandang jawatan, Muhammad Izuan Ahmad Kasim yang akan ditentang Arshad Hassni.

Inisiatif menjadi penganjur debat itu adalah sebagai menyahut kenyataan daripada Arshad Hassni yang mencabar Muhammad Izuan untuk mengadakan sesi debat terbuka menerusi hantarannya di Facebook hari ini.

CABARAN DEBAT TERBUKA: https://www.facebook.com/share/16XszHbXPW/?mibextid=wwXIfr

MalaysiaGazette akan menyediakan platform yang adil dan terbuka kepada calon-calon untuk menyampaikan visi, misi dan gagasan mereka kepada ahli parti dan juga rakyat Malaysia secara umumnya.

Ketua Pengarang MalaysiaGazette, Noraini Abd. Razak berkata, perdebatan yang sihat dan berinformasi adalah penting dalam proses demokrasi terutama dalam memilih pemimpin pelapis untuk parti-parti politik.

“Kami menawarkan diri untuk menjadi ‘tuan rumah’ program ini dengan menyediakan ruang, logistik dan liputan media yang sewajarnya.

“Kami akan memastikan format perdebatan yang adil dan telus dengan memberikan peluang yang sama kepada kedua-dua calon untuk mengutarakan pandangan dan menjawab soalan-soalan yang relevan,” katanya.

Jelasnya lagi, MalaysiaGazette membuka ruang debat terbuka pada 21 Mei iaitu dua hari sebelum pengundian bermula.

“Kami jangkakan inilah tarikh terbaik untuk diadakan debat bagi memberikan momentum kepada kedua-dua calon bersama penyokong-penyokong mereka bagi mencari siapakah yang akan menggalas tugas orang kedua terpenting dalam AMK ini sebelum tarikh mengundi iaitu pada 23 Mei nanti.

“Usaha MalaysiaGazette ini diharap juga dapat memberikan pencerahan kepada ahli AMK dan masyarakat mengenai kualiti kepimpinan dan arah tuju yang ditawarkan oleh setiap calon Timbalan Ketua AMK,” katanya lagi.

Noraini turut berkata, MalaysiaGazette kini hanya menunggu respons daripada pihak parti dan para calon untuk merealisasikan perdebatan ini.

MalaysiaGazette akan menampilkan Editor, Haslina AR Kamaludin sebagai moderator debat kali ini.

Untuk rekod, portal itu sebelum ini menjadi penganjur Debat Perdana di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Razak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here