KUALA LUMPUR – Mayat satu lelaki ditemui tergantung di dalam kawasan hutan berhadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada talian MERS 999 pukul 3.44 petang oleh seorang lelaki yang memaklumkan dia ternampak mayat tersebut ketika melalui jalan berkenaan.
Siasatan ditempat kejadian mendapati, kawasan mayat itu ditemui merupakan hutan kecil dan berbukit.
“Simati adalah lelaki bangsa dan umur tidak dapat dipastikan dan mayatnya telah berulat.
“Mayat itu tergantung dengan keadaan leher diikat menggunakan objek jenis wayar hitam di dahan pokok di dalam semak dekat Jalan Sultan Ismail Kuala Lumpur berhadapan Hard Rock Cafe,” katanya kepada media menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Tambah Sulizmie, ketika ditemui mayat terbabit berbaju-T warna kelabu, berseluar pendek warna biru cerah, bertali pinggang dan memakai selipar warna biru.
Kesan kecederaan yang dapat dilihat setakat ini hanya pada leher sahaja iaitu kesan tali gantung dan lain-lain masih tidak dapat dipastikan lagi.
Pemeriksaan tubuh pada badan mayat juga tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri.
Katanya, mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk tujuan bedah siasat yang akan dijalankan esok dan kes diklasfikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette