Bahagian depan MPV dinaiki suami isteri rosak selepas melanggar gajah melintas di Jalan Johor Bahru–Mersing, Kota Tinggi malam tadi.

KOTA TINGGI – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka merempuh sekumpulan gajah melintas di Kilometer 50, Jalan Johor Bahru–Mersing di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kejadian berlaku pukul 9.20 malam ketika pasangan terbabit dalam perjalanan dari Kota Tinggi menuju ke Mersing.

“Sebaik tiba di lokasi, empat ekor gajah tiba-tiba melintas jalan menyebabkan pemandu gagal mengelak lalu merempuh salah seekor haiwan berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, bahagian hadapan MPV Perodua Alza terbabit mengalami kerosakan di bahagian hadapan namun mangsa yang masing-masing berusia 40 dan 38 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, haiwan tersebut kemudiannya melarikan diri masuk semula ke kawasan hutan berhampiran sejurus insiden berlaku.

Polis katanya, menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berwaspada terutamanya ketika melalui kawasan berhampiran hutan pada waktu malam.

Sebelum itu, tular rakaman kemalangan melibatkan sebuah MPV dengan gajah liar di laluan terbabit dan turut kedengaran bunyi suara gajah yang disyaki dilanggar.

Kejadian itu juga bukan insiden pertama melibatkan kenderaan dan gajah di kawasan berkenaan yang menjadi laluan haiwan liar itu melintas.

Pada 17 Mac lalu, sepasang suami isteri mengalami kecederaan ringan selepas kenderaan yang mereka naiki merempuh seekor gajah yang menghalang laluan di Jalan Mawai.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here