IPOH – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyediakan pasukan kaunselor khusus bagi memberikan sokongan emosi dan kaunseling kepada waris mangsa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semalam.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bahawa dalam tempoh yang sukar ini, ahli keluarga dan waris pasti masih merasa terkejut serta trauma dengan insiden tersebut.
“Kita tak boleh underestimate (memandang rendah) kejutan yang mereka alami. Baru semalam orang yang mereka sayangi itu ada bersama mereka, tiba-tiba hari ini tak ada, jadi khidmat kaunselor ini kita perlukan,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menziarahi isteri, Haswati Rosdi, 44, dan keluarga Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif di Kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam hari ini.
Mengulas mengenai tahap keselamatan trak yang digunakan anggota FRU, Saifuddin memaklumkan, kenderaan tersebut mempunyai rekod penyelenggaraan yang baik walaupun telah digunakan sejak 1997.
“Rekod penyelenggaraannya tak ada masalah. Maksudnya masih lagi roadworthy (layak dipandu),” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan segala perkara yang berkaitan dengan kemalangan tersebut diserahkan kepada pasukan siasatan.
“Insiden semalam terlalu awal untuk kita predict (jangka) sama ada kemalangan itu human error (kesilapan manusia) yang membabitkan pemandu lori pasir dan sebagainya. Itu biar pasukan siasatan (jalankan),” ujarnya.
Saifuddin turut menegaskan, KDN komited untuk menambah baik semua aset agensi penguat kuasa di bawah Kementerian tersebut.
Dalam kejadian pukul 8.50 pagi Selasa, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu semasa perjalanan pulang selepas tamat tugas sempena perayaan Chitrapournami di sini.
Kemalangan tersebut mengakibatkan sembilan anggota FRU maut, dua parah manakala tujuh lagi cedera. – MalaysiaGazette