BATU PAHAT – Seorang lelaki maut manakala isterinya parah selepas motosikal ditungang mereka dilanggar sebuah motosikal ditunggang seorang remaja dalam kejadian di Jalan Parit Karjo di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan tersebut berlaku pada pukul 8.30 malam yang membabitkan dua motosikal.
“Siasatan awal Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Batu Pahat mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa motosikal pasangan itu datang dari arah Senggarang menghala ke arah Jalan Kluang.
“Apabila sampai di tempat kejadian tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki tempatan berumur 19 tahun dari arah bertentangan telah memasuki ke lorong yang sedang dilalui mangsa.
“Keadaan itu menyebabkan berlaku pertembungan di antara kedua-dua motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kemalangan tersebut menyebabkan mangsa Safuan Othman iaitu lelaki tempatan berumur 47 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa bahagian badan.
Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai nelayan dan beralamat di Kampung Sri Pantai, Senggarang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara isterinya yang juga warga tempatan berumur 46 tahun cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan, masih dalam rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.
Tambahnya, siasatan polis dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.
Pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini agar dapat tampil membantu siasatan polis.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat terus kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Asma’i Yusoff di talian 013-655 0128 atau ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui hotline polis kontinjen Johor 07-221 2999 atau melalui hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat 07-434 3999. – MalaysiaGazette