KUALA LUMPUR – Pemilihan PKR 2025 tidak seharusnya dicemari dengan bahan kempen yang menyentuh peribadi calon, kata Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin.
Beliau berkata, tempoh 14 hari berkempen harus dimanfaatkan dengan perkara-perkara atau isu yang boleh membangkitkan semangat rakyat untuk terus mendukung PKR.
“Saya sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku sehari dua ini.
“Berkempen seharusnya tidak memperkecilkan orang lain jauh sekali membuka aib atau apa sahaja yang berbentuk negatif,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian menerusi program SKOP MG dengan tajuk Langkah Ke Depan PKR: Lesu Atau…
Jelas Azman, dalam tempoh ini, semua anggota parti memerhati setiap apa yang dibicarakan.
“Tidak kiralah jawatan mana kita bertanding, mereka tengok dan menilai.
“Kerana itu ramai yang bertaraf Menteri atau Timbalan Menteri kalah pada peringkat Cabang kerana penilaian berlaku dah lama sejak dua tahun lalu,” ujarnya.
Mengakui terdapat pergolakan Azman berkata, itulah demokrasi yang diamalkan oleh parti itu sejak sekian lama.
“Kita terbuka untuk bercakap dan memberikan pandangan, tetapi kalau boleh janganlah sampai serang menyerang peribadi.
“Ini saya sarankan kepada semua yang bertanding di semua peringkat termasuk peringkat tertinggi,” katanya.
Azman yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri mengingatkan agar semua anggota kembali kepada asas utama parti ini ditubuhkan.
“Kita kena akui PKR ini ditubuhkan adalah kerana penganiayaan yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Kerana itu logo kita lambang mata, dan perjuangan parti ini dilakukan oleh Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar dan juga Nurul Izzah Anwar anak sulung pasangan ini.
“Mereka berjuang untuk kebebasan Anwar dan menjadikan Anwar perdana Menteri.
“Jangan marah kalau orang kata ini parti anak beranak kerana itu adalah fakta,” katanya. – MalaysiaGazette