JOHOR BAHRU – Seorang pesara syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan memberi rasuah RM2,000 kepada Pembantu Penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), tiga tahun lalu.
Sia Joo Hoe, 58, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah memberi suapan iaitu wang tunai berjumlah RM2,000 kepada Abu Hassan Othman, 37, yang bertugas sebagai seorang Pembantu Penguatkuasa gred KP19 di Jabatan Penguatkuasaan MBIP.
Perbuatan itu dibuat wanita berkenaan yang ketika itu kerani kedai perabot sebagai balasan kepada Abu Hassan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya yang menjalankan perniagaan tanpa memiliki lesen sah daripada MBIP.
Kesalahan itu adalah bawah Undang-undang 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBIP) 2018, Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171].
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Jabatan Penguatkuasaan, MBIP, Jalan Medini Sentral 9, Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri dekat sini, kira-kira 9 pagi, 30 Ogos 2022.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai satu perempat daripada tempoh pemenjaraan yang paling lama diperuntukkan bagi kesalahan itu, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli mencadangkan jaminan RM10,000, namun dibantah peguam Chuah Shyue Chien yang mewakili tertuduh.
Chuah memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan dilakukan sejak 2022.
“Tertuduh tinggal bersama-sama suami di Johor Bahru dan menjaga cucu berusia sembilan bulan. Tertuduh kini terima sumbangan daripada anak-anaknya. Dia bersedia dengan wang RM5,000 untuk ikat jamin,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula 18 Jun depan untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette